fbpx

Mohd. Azizi fail kes cabar keputusan Speaker Kelantan Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azizi (tengah) selepas proses penamaan calon bagi DUN Nenggiri PRN Kelantan pada tahun lalu.

GUA MUSANG – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim telah melantik peguam bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi DUN tersebut.

Mohd. Azizi berkata, peguamnya akan memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada hari Ahad ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau melantik peguam semalam untuk mencabar keputusan Speaker Kelantan yang bertarikh 19 Jun.

“Saya yakin sistem keadilan dan peruntukan undang-undang negara kita adalah yang terbaik. Cabaran di mahkamah itu akan memberi keadilan kepada saya selaku wakil rakyat yang telah dipilih oleh majoriti pengundi DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada 12 Ogos tahun lalu.

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan barisan pasukan peguam untuk mengendalikan kes tersebut. Paling utama, saya yakin kepada qada dan qadar Allah SWT yang memberi amanah kepada saya untuk memimpin DUN Nenggiri pada penggal ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula Rabu lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Mohd. Azizi Abu Naim kemudiannya menyatakan bahawa beliau akan memohon injunksi mahkamah selepas keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan itu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI