fbpx

Jangan pura-pura jadi pahlawan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir bagi menunaikan solat jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya di sini hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

PETALING JAYA – Jangan jadikan penglibatan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai wayang politik untuk menghentam kerajaan membabitkan isu Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau malah pada setiap masa bersikap keras dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, namun pada masa yang sama tidak mahu melemahkan ekonomi Malaysia.

Justeru, katanya, isu GIP yang bakal diambil oleh syarikat Israel, BlackRock Inc tidak sepatutnya ‘ditunggang’ oleh mana-mana pihak untuk tujuan politik di negara ini.

“Sementara saya keras mempertahankan, memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin berdepan dengan siapa sahaja, tetapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.

“Khazanah ada buat kenyataan lengkap dan ada kurang bersetuju tidak mengapa, ada hak untuk tidak bersetuju tetapi jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut,’ katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini hari ini.

GIP dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, GIP akan diambil alih oleh BlackRock Inc dengan transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Bagaimanapun, tegas GIP, BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA)

Pada 15 Mei lalu, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, rundingan dengan GIP berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB dilakukan sebelum GIP diambil alih oleh BlackRock Inc.

Sehubungan itu, kata beliau, dalam keadaan sekarang, kerajaan tiada upaya untuk membatalkannya kerana tindakan tersebut akan menjejaskan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa beliau merupakan Perdana Menteri yang mengambil keputusan untuk Malaysia membatalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang beroperasi di Israel.

“Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat yang ada operasi di Amerika Syarikat, Jerman, China tetapi ada kaitan dengan Israel. Tiada upaya kepada kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara.

“Syarikat yang ada kepentingan BlackRock Inc beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (batalkan),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau bersedia menerima sebagai teguran dan kritikan, tetapi isu berkenaan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB tidak patut menjadi tunggangan politik.

“Saya percaya sebahagian yang menentang ada hujahnya dan ikhlas. Sebahagiannya nak tunggang politik. Boleh tegur saya, boleh kritik saya tiada masalah, tetapi kalau nak guna isu ini untuk tunjuk dia lebih pahlawan, padahal siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu.

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh mantan Perdana Menteri tahun 2002 dan diteruskan oleh semua kerajaan (terdahulu), semua pemimpin termasuk mantan-mantan menteri yang bising sekarang ini.

“Beritahu saya apa lagi yang saya harus boleh buat untuk Gaza. Dua hari lalu saya bercakap dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan soal Gaza. Sebelum itu dengan Perdana Menteri Pakistan dan dengan Perdana China semalam saya masih tekankan soal Gaza.

“Janganlah guna (isu) ini kerana orang yang beri kebenaran kapal Israel berlabuh sekarang mahu jadi jaguh. Saya tidak mahu ungkit, tetapi saya harap kita bersatu dalam soal Palestin. Dalam (Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap okay kita berlawan, tetapi dalam soal Gaza, umat Islam Malaysia perlu bersatu. Kalau nak “score political point” ia bukan tempatnya.

“Umat Islam khususnya rakyat Malaysia berpakatlah. Kita daripada segi kerajaan dan saya sendiri buat pendirian maksimum depan kuasa besar, jumpa pemimpin Hamas. Kita sudah buat sedaya upaya kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI