fbpx

Kami serahkan semua bahagian termasuk telinga, kulit – Madad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Ustaz Yaakub Yusra di laman X sedang menunjukkan telinga lembu korban yang turut diserahkan kepada wanita tersebut.

SUNGAI PETANI – Pihak pengurusan ibadah korban Masjid Murtadha Dakwah Centre (Madad) di sini, meluahkan rasa kecewa apabila dituduh tidak berlaku adil dalam pembahagian daging korban, baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian video di laman X, Ustaz Yaakub Yusra Mohd. Yusoff yang juga Pengarah Urusan Madad memberitahu pihaknya telah menerima mesej daripada seorang peserta korban yang meluahkan rasa tidak puas hati dalam isu pembahagian daging korban yang dilakukan pihak masjid.

Katanya, malah dalam mesej yang dihantar wanita itu, dia juga mengkritik cara kerja dan juga pembahagian daging-daging lembu korban yang dirasakan tidak adil dan tidak akan menghalalkan daging lembu korban mahupun sehelai bulu lembu yang diambil oleh pihak masjid.

“Kita tertanya-tanya kenapa, sedangkan dalam akad kami sudah maklumkan mengenai cara pembahagian daging korban tersebut.

“Dalam akad kita sudah maklumkan bahawa satu per tiga bahagian korban akan diberikan kepada penama (orang yang masuk bahagian), manakala dua per tiga bahagian lagi akan diagihkan kepada golongan fakir miskin dan orang ramai,” jelasnya.

Ustaz Yaakub berkata, disebabkan tidak mahu memanjangkan isu ini, pihaknya telah menyerahkan semua bahagian daging korban kepada wanita tersebut termasuk sepasang telinga dan kulit lembu korban tersebut.

“Kita bukan nak buat untung atau sekadar nak mencipta nama, tapi kita anjurkan korban ini untuk memberi manfaat kepada orang ramai sebab tu saya minta tengok elok-elok akad korban yang kita dah bagi.

“Saya nasihatkan dia atau mana-mana pihak yang berniat buat korban, tapi nak ambil semua 100 peratus bahagian lembu yang disembelih boleh beli seekor lembu, sembelih, lapah dan proses sendiri,” katanya.

Beliau berkata, setiap peserta korban seharusnya sedia maklum dengan niat asal dalam melakukan ibadah korban.

“Jangan kita buat korban, tapi kita ambil banyak untuk diri kita sahaja, sedangkan nabi Muhammad S.W.T ketika melakukan ibadah korban hanya ambil sengenggam daging sahaja untuk nabi makan, yang lain bagi dekat orang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI