fbpx

Isu kejatuhan ringgit, penyasaran subsidi sudah diselesaikan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika merasmikan Majlis Peluncuran Konsortium Impak Kelestarian Asia di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur, hari ini. -Foto Oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan dua isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) berjaya diselesaikan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua isu berkenaan adalah isu kejatuhan ringgit serta penyasaran subsidi.

Beliau berkata laporan pada tahun 2023 itu adalah berdasarkan maklumat pada tahun 2022, bagaimanapun pada suku tahun ini sudah ada peningkatan dalam semua soal dibangkitkan.

“Pada tahun 2023, antara kritikan kerasnya adalah kegagalan kita melaksanakan penyasaran subsidi, itu kita telah baiki, jadi maknanaya sebahagian besar masalah selesai atau positif.

“Kedua ialah, kelemahan ringgit. Tahun lalu diakui masalah ringgit yang mencabar tetapi suku tahun ini sudah pun ada peningkatan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Pelancaran Konsortium Impak Kelestarian Asia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, barisan Jemaah Menteri juga telah mengambil maklum teguran yang dilaporkan dalam WCR 2024 itu.

“Jemaah Menteri semalam melihat dengan cara lebih terbuka apa kekuatan dan apa kelemahan.

“Syukur kerana beberapa teguran itu diambil kira dan insya Allah semua akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaiki,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dilaporkan jatuh tujuh anak tangga di kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking tersebut, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (25) dan Indonesia (27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (52).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI