KONTINJEN Malaysia menggalas misi penting pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia bermula 25 Jun hingga 6 Julai ini apabila diletakkan sasaran untuk membawa pulang 35 pingat emas.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau percaya tugas tersebut mampu digalas sebaiknya oleh kontinjen negara yang dibarisi 263 atlet serta 119 pegawai melibatkan 17 jenis sukan.
Sasaran yang diumumkan itu sama seperti sasaran diletakkan pada edisi terdahulu yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand dua tahun lalu.
“Perkara paling mustahak adalah mereka perlu bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana tidak ada apa yang mustahil. Saya diberitahu sasaran adalah 35 pingat emas tetapi mungkin boleh dapat lebih daripada itu.
“Perkara yang menggerakkan kita untuk mencapai kejayaan adalah semangat daya juang setiap atlet sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Putrajaya semalam.
Barisan atlet juga bakal menerima durian runtuh apabila Zambry mengumumkan insentif RM3,000 akan diberikan kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) serta RM1,500 (gangsa).
“Diharapkan pemberian insentif ini akan memberi tambahan semangat kepada setiap atlet untuk menampilkan aksi terbaik di sana, bukannya berjuang disebabkan insentif semata-mata.
“Justeru, saya berharap dengan kehebatan barisan atlet yang kita miliki, mereka akan terus mencipta nama dan memberikan kejayaan bermakna kepada negara,” tambah Zambry.
Sementara itu, atlet 400 meter (m) negara, Umar Osman dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan yang akan berlangsung 25 Jun ini.
Sebagai rekod, pada edisi terdahulu di Ubon Ratchathani, Malaysia membawa pulang 49 pingat emas, 83 perak dan 52 gangsa bagi menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Thailand.