PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bakal melanda hampir seluruh Semenanjung termasuk negeri Sarawak.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Selain itu, ia juga melibatkan negeri Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bera dan Rompin) dan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor).
“Hujan lebat serta ribut petir juga dijangka melanda Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), seluruh Melaka dan beberapa kawasan negeri Johor antaranya Tangkak dan Segamat.
“Di Sarawak membabitkan daerah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu dan Selangau) dan Bintulu,” lapor MetMalaysia.
Tambahnya, keadaan tersebut boleh berlanjutan sehingga pukul 6 petang nanti. – KOSMO! ONLINE