fbpx

Euro 2024: Kelahiran semula skuad emas Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GUNDOGAN meledak satu gol dan mencipta satu umpanan jaringan menewaskan Hungary awal pagi semalam. - AFP

JERMAN menutup mulut para pengkritik yang sebelum ini mempertikaikan kemampuan mereka sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kejohanan Euro 2024 berdasarkan prestasi buruk pada Piala Dunia 2018 dan 2022 serta ketika melakukan persediaan sepanjang tahun 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, skuad yang diberi gelaran Die Mannschaft itu dikecam terlalu hebat susulan hanya mencatat tiga kemenangan daripada 11 perlawanan antarabangsa selain turut merekodkan enam kekalahan termasuk tiga kali tewas berturut-turut sehingga dianggap tiada peluang untuk menjuarai Euro di laman sendiri.

Namun, segalanya berubah sebaik sahaja saingan berprestij Eropah itu membuka tirainya minggu lalu menerusi persembahan cukup bertenaga apabila menjadi pasukan pertama meledak lima gol dalam aksi pertama selain turut bergelar negara paling awal mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati.

Kejayaan itu hadir menerusi penguasaan dominan ditunjukkan bekas juara dunia empat kali itu ke atas Hungary untuk merakam kemenangan 2-0 hasil jaringan Jamal Musiala dan Ilkay Gundogan pada aksi kedua Kumpulan A di Stuttgart Arena awal pagi semalam.

Ia menghadirkan bayangan awal skuad ’emas’ bimbingan Julian Nagelsmann itu berpotensi besar untuk menjuarai Euro kali ini sekali gus menamatkan penantian 28 tahun untuk bergelar juara Eropah sejak kali terakhir mereka melakukannya pada 1996.

“Kami bermain semakin baik dalam setiap perlawanan, tetapi ia tidak bermakna kami sudah sempurna. Kami masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya seperti babak pertama hari ini (awal pagi semalam).

“Apa situasi sekalipun, kami perlu bersedia mengharunginya kerana ini adalah satu kejohanan yang besar. Kami telah buktikan dalam perlawanan ini,” kata Gundogan.

Tonggak tengah Barcelona berusia 33 tahun itu sememangnya dalam kelas tersendiri dalam aksi tersebut kerana dia turut mencipta bantuan jaringan kepada Musiala yang meledak gol pertama Jerman.

Berdasarkan prestasi ditampilkan dalam dua aksi pertama termasuk menang 5-1 ke atas Scotland sebelum ini, para penyokong Jerman mula berharap pasukan kesayangan mereka mampu menamatkan penantian lama bergelar juara Eropah sejak kali terakhir pada 1996.

Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer percaya perkara itu mampu direalisasikan jika dia dan rakan sepasukannya terus menampilkan prestasi cemerlang seperti ditunjukkan Ketika in.

“Anda boleh merasai apa yang sedang berlaku. Jerman sentiasa dianggap pasukan pilihan tetapi kami juga melakukan kerja rumah untuk memastikan kejayaan mampu dicapai.

“Saya tidak mahu berpandangan terlalu jauh kerana buat masa ini kami mahu menamatkan saingan peringkat kumpulan yang sukar ini terlebih dahulu,” jelasnya.

Awal pagi Isnin ini, skuad bimbingan Julian Nagelsmann itu akan melengkapkan saingan Kumpulan A menentang Switzerland yang sekadar seri 1-1 dengan Scotland awal pagi semalam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI