LEIPZIG – Penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen memberi amaran kepada rakan sepasukan supaya berwaspada dengan ancaman Perancis menjelang aksi kedua Kumpulan D Euro 2024 di Red Bull Arena Leipzig awal pagi esok.
Meskipun Perancis dijangka turun tanpa khidmat penyerang berbisa, Kylian Mbappe yang mengalami kecederaan patah hidung, namun ia tidak memberi jaminan Belanda akan berdepan laluan mudah.
Verbruggen berkata, Les Bleus masih memiliki ramai pemain berkaliber yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Mbappe, sekali gus mampu memberi ancaman kepada benteng pertahanan The Oranje.
“Tidak kira sama dia (Mbappe) beraksi ataupun tidak, mereka tetap memiliki ramai penyerang berbisa selain dianggap antara pasukan terbaik. Oleh itu, kami tidak boleh berasa terlalu selesa.
“Bagaimanapun, kami langsung tidak takut kepada sesiapa. Sama ada dia bermain ataupun tidak, ia langsung tidak memberikan sebarang perbezaan terhadap corak permainan kami nanti,” kata penjaga gol Brighton itu.
Tambah Verbruggen, mereka sebenarnya lebih risau dengan kerapuhan benteng pertahanan ketika berdepan situasi bola mati kerana dua gol terakhir yang dilepaskan adalah berpunca daripada set pieces.
“Kami banyak berbincang mengenai perkara ini ketika berada di hotel dan apa yang perlu dilakukan. Secara keseluruhan, ia hanya isu terpencil kerana kami juga banyak menafikan percubaan daripada situasi bola mati,” ujarnya. – AGENSI