LONDON – Masa depan pemain tengah Chelsea, Mykhailo Mudryk kini menjadi tanda tanya ketika kelab itu serius mendapatkan bintang Crystal Palace, Michael Olise.
Walaupun Chelsea mempunyai ramai pemain di posisi berkenaan, kelab tersebut tetap berusaha mendapatkan Olise dan dipercayai mereka bersedia membenarkan seorang pemain meninggalkan Stamford Bridge jika berjaya mendapatkan pemain sayap itu pada musim panas ini.
Pemain berusia 23 tahun itu gagal memenuhi jangkaan harga £88.5 juta (RM527.13 juta) sejak menyertai Chelsea dari Shakhtar Donetsk pada 2023.
Bagaimanapun, bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino tidak berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan Mudryk.
Walaupun Pochettino telah meninggalkan kelab itu, namun persoalan tersebut masih wujud mengenai masa depan pemain antarabangsa Ukraine itu di Stamford Bridge kerana barisan kejurulatihan juga tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Mudryk.
Sepanjang kempen 2023/24, Mudryk telah membuat 23 penampilan sebagai pemain utama dalam 41 perlawanan dengan menjaringkan tujuh gol selain memberikan dua bantuan jaringan.
Laporan juga mendedahkan bahawa Chelsea mungkin mempertimbangkan tawaran untuk pemain sayap, Raheem Sterling pada musim panas ini jika Olise tiba di Stamford Bridge.
Selain Mudryk, Sterling juga antara pemain yang menerima kritikan susulan prestasinya yang kurang memuaskan untuk pasukan London itu. – AGENSI