fbpx

Elak amal diet sihat mengikut trend

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMALKAN diet seimbang dalam pemakanan harian bagi memastikan tubuh kekal sihat. – Gambar hiasan

DI Malaysia, obesiti merupakan salah satu masalah yang semakin merisaukan dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan data yang diperolehi daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, lebih separuh daripada orang dewasa di negara ini iaitu 54.4 peratus mengalami berat badan berlebihan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan, obesiti adalah salah satu daripada faktor risiko utama bagi pelbagai penyakit kronik termasuk diabetes, kardiovaskular, hipertensi dan strok atau angin ahmar, selain beberapa jenis kanser.

Pada 2022, satu daripada lapan orang penduduk dunia mengalami obesiti.

Walaupun obesiti dalam kalangan dewasa meningkat hanya sekali ganda sejak 1990, namun bagi remaja ia melonjak lebih empat kali ganda.

Di samping itu, kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan menghadapi risiko lebih tinggi mengalami berat badan berlebihan apabila dewasa kelak.

Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Sedunia di Herbalife, Susan Bowerman berkata, dengan pertumbuhan dilihat lebih pantas dalam golongan anak muda berbanding dewasa, kita perlu menangani masalah global itu.

Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan berat badan, penekanan juga perlu diberikan kepada tabiat pemakanan sihat dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam jangka panjang.

“Menurut WHO, berat badan berlebihan sememangnya boleh dicegah.

“Untuk mencapai dan mengekalkan berat badan sihat sambil mengamalkan gaya hidup cergas serta aktif, ada beberapa langkah mudah yang boleh diambil,” katanya.

Tambahnya, antara langkah mudah yang boleh diambil adalah jangan hanya fokus pada mengurangkan berat badan, sebaliknya utamakan tabiat harian seperti diet sihat dan cara hidup aktif sepanjang hayat anda.

Tetapkan matlamat dan raikan kejayaan apabila mencapai sasaran anda. Iktiraf setiap pencapaian, tidak kira besar atau kecil.

Menyediakan lebih banyak sajian di rumah atau mematuhi had kalori harian merupakan antara kejayaan yang boleh diraikan.

Apabila membicarakan tentang kehilangan berat, kadar yang perlahan dan mantap adalah terbaik, biarpun kadangkala cara ini agak membosankan.

Susan juga menjelaskan, elakkan diet mengikut trend kerana ia hanya boleh mengurangkan berat buat sementara waktu dengan tidak mengambil makanan sihat atau kumpulan sajian tertentu.

Ini akan menyebabkan anda kekurangan khasiat atau meningkatkan risiko kehilangan jisim otot dan bukannya mengurangkan lemak badan.

Terangnya, harus diingat bahawa matlamatnya bukan sahaja untuk mengurangkan berat badan, malah mengubah tabiat bagi membantu anda mengekalkan berat sasaran.

“Pastikan anda mengambil protein yang secukupnya kerana ia memainkan peranan penting dalam pengurusan berat, selain memastikan anda berasa kenyang lebih lama.

“Protein juga menyokong pertumbuhan dan pemulihan otot, selain boleh mengekalkan jisim badan tanpa lemak sambil anda mengurangkan lemak badan,” jelasnya.

Selain itu, kita juga boleh menikmati snek sihat. Pada hari ini, snek meliputi hampir satu pertiga daripada pengambilan tenaga harian.

Namun, kebanyakan snek lazimnya mempunyai kandungan kalori, gula, lemak dan garam tinggi.

Pilih snek yang padat dengan nutrien, kaya protein untuk memastikan anda tidak lapar sehingga waktu makan seterusnya.

Sedikit yogurt dengan buah atau telur rebus bersama biskut bijian penuh boleh menjadi pilihan lebih sihat.

SENTIASA mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengawal berat badan. – Gambar hiasan

Menghurai lanjut, Susan juga menasihati orang ramai supaya elak daripada mengurangkan terlalu banyak kalori.

“Diet yang rendah kalori boleh mengurangkan kadar metabolisme, sekali gus menjejaskan usaha mengurangkan berat. Ini kerana, diet tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang.

“Sebaliknya, beri tumpuan untuk memasukkan makanan sihat dalam diet harian seperti protein tanpa lemak, buah dan sayur pelbagai warna, bijian penuh serta kekacang.

“Selain itu, ambil sejumlah kecil lemak sihat daripada makanan seperti kacang, bijian dan avokado,” ujarnya.

Kita juga perlu sentiasa bergerak cergas dan cuba melakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti sederhana setiap hari.

Perubahan kecil sekalipun seperti memilih untuk berjalan menaiki tangga atau berjalan kaki dari parkir kereta ke tempat kerja boleh memberi banyak manfaat. Pemakanan juga penting dan kita harus merancang dan sediakan makanan sihat.

Merancang makanan lebih awal akan membantu anda menentukan ramuan yang perlu dibeli.

Ini membolehkan anda mengisi peti sejuk dan kabinet dapur dengan makanan sihat.

Tambahan pula, menyiapkan bahan masak lebih awal dan menyimpannya di dalam peti sejuk atau penyejuk beku boleh memastikan anda mengelakkan diri daripada memilih makanan segera.

Untuk mengurangkan jumlah makanan, cuba gunakan pinggan, gelas, peralatan dapur dan sudu hidangan lebih kecil.

Anda juga boleh bahagikan makanan anda di atas pinggan atau mangkuk, dan bukannya makan terus daripada bungkusan atau bekas simpanan.

Pinggan Sihat Malaysia memberikan panduan berguna tentang jumlah sajian sihat dengan menggunakan konsep Suku Suku Separuh.

Isi suku pinggan dengan bijirin atau produk bijian seperti nasi atau roti, suku pinggan lagi dengan protein ikan, ayam atau telur dan separuh pinggan dengan buah dan sayur.

Dalam pada itu, kita dinasihati supaya membaca label khasiat makanan.

Ini penting untuk mengawal berat badan serta tahu apa sebenarnya yang anda makan dan minum.

Membaca label memberikan maklumat berkaitan kalori, kandungan nutrien dan saiz hidangan bagi makanan yang anda makan.

Selain itu, jangan lupa untuk nikmati sarapan seimbang.

Sarapan bukan sahaja membantu mengawal berat dan menumpukan perhatian di sekolah atau tempat kerja, malah membolehkan anda kekal fokus terhadap aktiviti harian.

Sarapan seharusnya mengandungi protein, karbohidrat dan lemak dalam jumlah seimbang.

Jika jadual anda ketat, cuba sediakan minuman ‘smoothie’ yang sihat, dan bukannya menjamah makanan segera atau meninggalkan terus sarapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI