fbpx

Duit simpanan pesakit kanser tinggal RM2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khalijah dibantu Jamillah (kiri) serta Roziana di rumahnya di Kampung Genting Palas, Kuala Nerang.

KUALA NERANG – Seorang wanita bukan sahaja diuji dengan penyakit kanser payudara yang dihidapinya sejak 2015, malah kesempitan wang sehingga duit simpanannya tinggal RM2.

Pesakit kanser, Khalijah Hashim, 53, memberitahu, ba­nyak wang simpanannya telah dihabiskan untuk menampung kos rawatan kanser.

Katanya, dia sering terfikir untuk menjual satu-satunya aset yang dimiliki iaitu Rumah Mesra Rakyat yang didiaminya di Kampung Genting Palas, dekat sini.

“Saya juga terpaksa berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

“Suami saya, Md. Daud Ahmad, 63, masih perlu membanting tulang bekerja sebagai buruh di Bukit Pinang, Pokok Sena untuk menyara hidup kami,” katanya.

Menurut Khalijah, sejak menghidap kanser, dia semakin tidak berdaya dan hanya mampu terbaring apabila kanser tersebut telah berada di tahap empat.

“Wang simpanan yang ada cuma tinggal RM2. Disebabkan itu, saya bercadang hendak jual Rumah Mesra Rakyat.

“Lagi pun rumah ini sudah dua tahun tertunggak bayarannya. Saya difahamkan rumah ini akan dilelong jika bayaran itu gagal dilunaskan.

“Sebelum dilelong, saya fikir lebih baik rumah ini dijual kerana kami tidak mempunyai pilihan lain,” ujarnya.

Tambahnya, dia dan suami mempunyai dua anak, namun mereka sudah berkeluarga dan pendapatan dimiliki hanya cukup-cukup makan untuk menampung kehidupan sendiri.

“Kami ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan. Wang itulah yang digunakan untuk membayar bil elektrik dan air serta makan minum kami.

“Kos perubatan termasuk berulang-alik ke hospital memang tidak cukup. Apabila berseora­ngan ketika suami keluar bekerja, saya hanya mampu menangis sendiri,” ujarnya.

Khalijah bersyukur ke­rana sering dikunjungi dua rakan baik­nya, Jamillah Ahmad, 54, serta Roziana Ahmad Radzi, 44, yang turut menghidap kanser sama dengannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat ia­itu 2240823050 milik Khalijah Hashim atau menghubunginya di talian 011-2642 5654.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI