MEKAH – Angka kematian jemaah haji pada tahun ini kini melebihi 1,000 orang, demikian menurut data yang dikumpulkan oleh agensi berita AFP semalam, seperti laporan saluran televisyen NDTV.
Lebih separuh kematian tersebut terdiri daripada jemaah tidak berdaftar yang menunaikan ibadah haji dalam keadaan cuaca panas melampau di Arab Saudi.
Kematian baharu yang dilaporkan semalam termasuk 58 jemaah haji Mesir.
Menurut diplomat Arab Saudi yang memberikan butiran tersebut, sebanyak 630 daripada 658 kematian melibatkan jemaah haji Mesir itu terdiri daripada mereka yang tidak berdaftar.
Pada masa sama, kira-kira 1,081 kematian dari 10 negara dilaporkan secara keseluruhan.
Angka tersebut diperoleh berdasarkan kenyataan rasmi atau makluman diplomat bagi negara masing-masing.
Ibadah haji pada tahun ini sekali lagi jatuh pada musim panas.
Pusat kaji cuaca Arab Saudi mencatatkan suhu tinggi 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram, kota suci Mekah awal minggu ini.
Menurut kajian di Arab Saudi yang diterbitkan pada bulan lalu, suhu di Mekah dan kawasan sekitarnya meningkat sebanyak 0.4 darjah Celsius pada setiap dekad.
Pada setiap tahun pula, puluhan ribu jemaah cuba mengerjakan ibadah haji menerusi saluran ‘tidak teratur’ kerana tidak mampu membayar permit rasmi yang jauh lebih mahal.
Pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan bahawa mereka telah mengusir ratusan ribu jemaah haji tidak berdaftar dari Mekah awal bulan ini. Malangnya, masih ramai jemaah tidak berdaftar secara sah yang menyertai ibadah itu bermula Jumaat minggu lalu. – AGENSI