PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) bersedia meletakkan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri jika ada pilihan raya kecil (PRK) nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun BN adalah ‘underdog’ (bukan pilihan) di DUN itu, namun parti tetap bersedia sekiranya diputuskan PRK di kawasan itu nanti.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, BN hanya mengalami kekalahan 810 undi pada pilihan raya lalu.
“Kita menghormati keputusan dibuat oleh Speaker DUN Kelantan, namun kita juga harus hormati bahawa perkara ini di bawa ke mahkamah.
“Walaupun pelbagai pandangan dan pendapat dari penganalisis politik dan pengamal perundangan, kami berpendapat bahawa ia harus diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu dan ia harus dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar pertemuan khas peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 – Moonton Games Malaysia di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, BN telah bersiap siaga malah, sedang mengumpul data-data baharu di DUN berkenaan termasuk menggerakkan jentera di peringkat lokaliti. – KOSMO! ONLINE