PETALING JAYA – Selebriti antarabangsa, Alan Walker mengumumkan konsert Walkerworld Tour 2024 (Walkerworld) yang sepatutnya berlangsung esok di Surf Beach, Sunway Lagoon ditunda ke tarikh yang bakal diumumkan kelak.
Menurut Walker, keputusan menunda konsert tersebut terpaksa dilakukan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Beberapa minggu kebelakangan ini, saya dan pasukan sudah bekerja keras untuk menyusun persembahan Walkerworld terbesar kami setakat ini di Kuala Lumpur, Malaysia esok.
“Lawatan saya ke Kuala Lumpur beberapa minggu lalu untuk mempromosikan persembahan ini, di mana saya juga berpeluang bertemu dengan ramai daripada anda, membuat kami lebih teruja untuk persembahan yang akan datang ini.
“Namun, dengan rasa sangat sedih, saya ingin memaklumkan bahawa disebabkan oleh keadaan tidak dapat dijangka dan situasi di luar kawalan saya, kami terpaksa menunda persembahan Walkerworld di Malaysia ke tarikh yang lain dalam tahun ini,” katanya dalam Instagram.
Dalam perkongsian sama, dia bagaimanapun berjanji akan kembali ke Malaysia dan sekiranya peminatnya tidak dapat menunggu tarikh baharu, ganti rugi tiket yang sudah dibeli boleh dilakukan daripada pihak penganjur iaitu Megatix.
“Saya minta maaf atas pengumuman yang lewat dan mengecewakan ini tetapi kami berjanji akan menunaikan komitmen kepada anda yang sudah membeli tiket serta bersabar menunggu Walkerworld tiba di Malaysia.
“Sekali lagi, kami mohon maaf dengan setulus hati kerana tidak dapat meneruskan persembahan ini seperti yang dirancang dan diharapkan, tetapi saya benar-benar berharap dapat berjumpa dengan anda kelak,” katanya lagi.
Beberapa minggu lalu, penyanyi undangan konsert tersebut, Putri Ariani mencetuskan kontroversi selepas membuatkan media tempatan tertunggu-tunggu untuk menemu bualnya usai sidang media konsert Walkerworld Tour 2024.
Tindakan tersebut membuatkan pihak media Malaysia berkecil hati memandangkan Alan sendiri meluangkan masa yang cukup untuk ditemu bual namun, pihak pengurusan Ariani mengambil pendekatan sebaliknya. – KOSMO! ONLINE