PETALING JAYA – Sebanyak 11,118 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Selangor bagi tempoh 10 hingga 19 Jun ini.
Difahamkan, 13, 417 daripada 57,491 kenderaan yang diperiksa telah diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan.
Menurut Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan 1,338 notis PG1 (Larangan Penggunaan Kenderaan); 1,407 notis arah periksa kenderaan dan 554 notis penahan kenderaan.
“Sepanjang operasi yang berlangsung, sebanyak 14,417 kesalahan yang kita kesan terutamanya membabitkan kesalahan teknikal (4,697), lesen CDL (3,022) dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (2,320).
“Ia diikuti dengan kesalahan tiada perlindungan insurans (1,893), lain-lain kesalahan (1,005), nombor pendaftaran (516), lesen GDL (485), cermin gelap (429) dan sembilan kesalahan utama (50),” katanya ketika sidang akhbar sekitar Plaza Tol Sunway, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, sembilan kesalahan utama adalah melibatkan kesalahan tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
Seterusnya, ia juga melibatkan kenderaan yang memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan.
“Semoga dengan pelaksanaan Ops HRAA 2024 ini akan dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya, pematuhan peraturan dan undang-undang ditahap tertinggi, berhemah di jalan raya dan selamat sampai ke destinasi dituju. Ingatlah insan tersayang.
“Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan kepada talian hotline JPJ Negeri Selangor di talian 03-5566 9442 atau melalui email [email protected] atau platform aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE