PETALING JAYA – Malaysia bakal menjadi tumpuan dalam merencana usaha memperkasa perlindungan sosial di peringkat tempatan dan global sempena penganjuran Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang diadakan di Geneva.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, forum berskala antarabangsa itu berlaku tepat pada masanya memandangkan negara di seluruh dunia pada ketika ini berdepan beberapa cabaran baharu berkaitan aspek keselamatan sosial.
Jelasnya, perkara utama yang perlu dirungkai adalah kesan langsung daripada pola masyarakat menua dan kelestarian dana pencen, selain merencana sistem keselamatan sosial terbaik bagi penggiat sektor gig.
“WSSF 2025 diyakini berupaya menjadi wahana untuk seluruh dunia berkongsi strategi dan langkah ke hadapan yang sewajarnya demi memastikan siri cabaran ini ditangani bermula dari sekarang.
“Kita tidak boleh alpa dan berlengah kerana fenomena masyarakat menua bakal memberi tempias yang amat mendalam, termasuk membabitkan unjuran semasa berkaitan kelestarian dana pencen bagi penggiat sektor gig.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengadakan perbincangan dengan International Social Security Association (ISSA) untuk memastikan WSSF 2025 berupaya mencapai matlamat, selain menjadi wadah mencerminkan tekad Malaysia dalam perjuangan hak asasi manusia dan perlindungan sosial, khususnya golongan pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Steven yang dalam rangka lawatan kerja rasmi sulung ke Geneva turut mengadakan perbincangan dengan ISSA di ibu pejabatnya bagi memperhalusi beberapa agenda.
Antaranya, memperkasa rencana jaringan keselamatan sosial di Malaysia dan meneliti perkembangan sektor ekonomi gig.
Perbincangan itu turut terarah kepada agenda di sebalik ‘Seminar Teknikal: Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’ yang bakal diadakan pada 27 hingga 28 Ogos 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Penganjuran seminar menerusi kerjasama antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ISSA dan Kesuma ini adalah pentas penting bagi merungkai rangkaian isu semasa dan merencana penyelesaian berkesan untuk melindungi pekerja dalam ekonomi gig.
Sementara itu, Steven Sim berkata, Malaysia ketika ini giat merintis penambah baikan menerusi pindaan akta berkaitan untuk menepati Konvensyen Keselamatan Sosial (Standard Minimum) 1952 (Konvensyen 102).
Beliau berkata, usaha sedemikian selari tekad kerajaan ke arah reformasi dasar dan institusi kepentingan awam yang menjadi antara tonggak prinsip Kerajaan Madani.
“Dengan ratifikasi Konvensyen 102, Malaysia boleh mengukuhkan lagi perlindungan sosial dan menjamin faedah yang mencukupi bagi pekerja serta keluarga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE