GUA MUSANG – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Raya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.38 pagi itu, mangsa, Hassan Ali, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada badan, tangan dan kakinya patah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Bandar Baru menghala ke Bandar Lama di sini.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, warga emas itu yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba telah mengubah haluan ke kanan jalan.
“Kejadian itu menyebabkan seorang wanita berusia 29 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Bezza tahun yang datang dari arah belakang telah merempuh sisi kanan motosikal ditunggang Hassan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE