fbpx

UKM lakar sejarah wujudkan Kampus Rendah Karbon 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ching Thooketika merasmikan Majlis Pelancaran Kampus Rendah Karbon 2030 yang bertempat di Persada Canselori, Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, hari ini.

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Kampus Rendah Karbon 2030 dalam usaha mendukung dan menggerakkan agenda kelestarian kampus.

Kampus Rendah Karbon 2030 yang dilancarkan hari ini dijalankan berdasarkan empat fokus utama iaitu GreenHouse@UKM, program kitar semula, taman lestari, dan penggunaan tenaga solar di dalam kampus.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Nres), Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, usaha UKM dalam menggunakan teknologi hijau di sekitar kampusnya selari dengan perancangan kerajaan dalam mencapai 200 zon rendah karbon seluruh negara.

Katanya, pelaksanaan Program Kampus Rendah Karbon 2030 bergerak seiring dengan agenda pembangunan mampan bagi melestarikan alam sekitar dalam mendepani cabaran perubahan iklim di peringkat kampus.

“Kementerian juga telah menggerakkan rangka kerja bandar rendah karbon atau lebih dikenali sebagai Low Carbon Cities Framework (LCCF). Ini merupakan wadah untuk memberi panduan teknikal dalam perancangan pembangunan lestari bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia bagi menerajui konsep pembangunan bandar lestari.

“Di dalam program LCCF ini juga, Kementerian turut memberi pengiktirafan rendah karbon kepada PBT-PBT, agensi dan pemegang taruh yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon di kawasan masing-masing.

“Pelancaran Kampus Rendah Karbon 2030 oleh UKM memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk melestarikan alam sekitar melalui Program LCC2030C itu,” ujarnya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Kampus Rendah Karbon 2030 yang bertempat di Persada Canselori, Bangunan Canselori UKM Bangi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ching Thoo berkata, selain memberi kesedaran kepada warganya terhadap kepentingan melestarikan alam, usaha mereka tampaknya tidak terhenti di situ apabila turut melibatkan komuniti setempat.

“Sebagai peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan kelestarian, usaha UKM tidak hanya terhad di kampus semata-mata, tetapi turut melibatkan komuniti luar melalui pelbagai projek dan inisiatif yang mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Penggunaan tenaga lebih cekap, penerokaan tenaga boleh baharu, pengurusan sisa pepejal yang cekap dan penanaman pokok serta mempromosikan pengangkutan hijau dan bangunan lestari, menjadi teraju utama yang diharapkan boleh diteruskan sehingga masa akan datang,”katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI