PETALING JAYA – Selepas menceraikan isteri tersayang malam tadi, bekas suami kepada pelakon jelita Nora iaitu Danish Nedim Sujak Nazri, 41, atau lebih dikenali sebagai Nedim reda dengan ketentuan Ilahi.
Katanya, tiada apa yang berubah cuma Nora kini bukan lagi isterinya jika merujuk lunas agama.
“Tiada apa yang berubah cuma dia (Nora) bukan milikku dalam Islam.
“Percayalah. Kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” tulis Nedim menerusi Instagram.
Malam tadi, dunia hiburan tempatan digemparkan dengan berita perceraian Nora, 42, dengan anak kepada ahli politik negara, Mohamed Nazri Abdul Aziz itu yang memilih untuk berpisah secara baik.
Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam tadi menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – KOSMO! ONLINE