CYBERJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memastikan harga rumah mampu milik di bawah kendalian mereka tidak terjejas susulan pelarasan harga diesel baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, harga rumah mampu milik itu sebenarnya tertakluk kepada dasar ditetapkan kerajaan iaitu di bawah RM300,000 seunit.
Beliau berkata, buat masa ini, harga RM300,000 seunit itu akan kekal dan tidak terkesan dengan kenaikan harga diesel baru-baru ini.
“Kita jaga (harga) sebab ia ada dasar dan harga telah ditetapkan malah, kita akan kawal secara terus.
“Antara projek perumahan mampu milik di bawah seliaan KPKT termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih P113 Sepang bersama KPKT dan Bomba 2024, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE