fbpx

Rakyat tak perlu bimbang Malaysia ‘dikorbankan’ China – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Komuniti Perniagaan China dan Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu bimbang atau takut dengan penguasaan China dari segi ekonomi, ketenteraan dan teknologi kerana Malaysia mempunyai pendirian neutral atau berkecuali dalam menentukan hala tuju negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, propaganda dan naratif yang diwujudkan sesetengah pihak harus disangkal kerana keazaman Malaysia untuk menjalinkan kerjasama ekonomi bukan sahaja dengan China malah negara-negara lain.

Ujarnya, kerjasama bersama China melangkaui perdagangan dan pelaburan apabila pandangan mengenai isu semasa telah dibincangkan bagi manfaat kedua-dua buah negara.

“Orang kata Malaysia adalah sebuah negara yang ekonominya semakin berkembang. Jangan biarkan China menyalahgunakan, mendapat keistimewaan atau memeras ugut negara. Saya kata tidak.

“Sebaliknya, kami (Malaysia dan China) ingin mendapat manfaat daripada satu sama lain, ingin belajar daripada satu sama lain. Kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan daripada kerjasama ini kami dapat membantu rakyat, baik Malaysia mahupun China.

“Kebimbangan kita hari ini adalah masa depan anak-anak kita, kualiti pendidikan, kemudahan melalui TVET, melalui kecerdasan buatan (AI) dan digital. Semua isu ini kita bincangkan bersama dengan China,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Komuniti Perniagaan China dan Malaysia, di sini, hari ini.

Tambah Anwar, sikap kepimpinan China yang sangat mesra, berbudi bahasa, penuh hormat menghormati dan memahami perbezaan budaya adalah sangat berbeza seperti yang digambarkan di tempat lain.

Malah kata Anwar, sepanjang perbincangan berjam-jam lamanya dengan Perdana Menteri China, Li Qiang tidak langsung kelihatan sombong, bersikap merendah-rendahkan atau ‘ultimatum’.

“Walaupun ada isu menjadi perbalahan, tetapi kita berbincang sebagai rakan kongsi yang sama rata. Sebab itu saya ingin menggunakan peluang ini untuk meredakan kebimbangan orang lain lebih-lebih lagi rakyat Malaysia.

“Dalam kebanyakan perjumpaan saya dengan ramai rakan di luar negara, terutamanya Barat, soalan asas yang ditanya ialah sama ada hubungan komprehensif dan strategik dua hala yang dipertingkatkan bersama China akan mengorbankan Malaysia sebagai sebuah negara kecil.

“Saya telah beri jaminan kepada mereka berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman Maharaja di China dan Sultan di Melaka. Tetapi mereka yang wujudkan naratif ini menolak malah bertubi-tubi soalan dan propaganda lain dibangkitkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI