SHAH ALAM – Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 tahun pengiktrafan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai universiti bakal diserikan dengan penyertaan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut akan menyertai kayuhan sejauh 1,896 kilometer (km) merentasi 11 buah negeri tersebut adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros berkata, kayuhan bermula hari ini hingga 2 Julai depan tersebut akan dilakukan oleh 16 pengayuh terdiri daripada staf akademik, pentadbiran dan pelajar.
Katanya, ia akan menjelajah 12 buah kampus cawangan UiTM di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Apa yang menarik adalah kayuhan ini akan turut disertai Tuanku Syed Faizuddin pada 26 Jun depan di UiTM Kampus Arau, Perlis.
“Manakala Tengku Amir Shah akan berkayuh pada 2 Julai pada laluan terakhir, iaitu dari UiTM Puncak Alam ke UiTM Shah Alam,” katanya pada pelancaran kayuhan tersebut di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.
Laluan pertama bagi hari ini adalah bermula daripada UiTM Shah Alam ke UiTM Kampus Kuala Pilah, dengan jarak perjalanan lebih kurang 141 km yang diketuai Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Shahrin @ Sahib Sahibuddin.
Kata Raduan, pasukan pengayuh akan membawa sebuah kapsul yang akan diisi dengan kertas yang mengandungi hasrat dan impian warga kerja UiTM di 12 buah kampus berhubung harapan mereka terhadap UiTM bagi tempoh 25 tahun akan datang.
“Kapsul ini dipahatkan di dalam sebuah monumen yang akan dibina di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam sebagai simbolik kepada sambutan Malam Gala Sambutan 25 Tahun 25 UiTM pada 24 Ogos nanti.
“Selain itu, setiap kampus akan menanam 25 batang pelbagai anak pokok bagi menunjukkan bahawa UiTM menyokong agenda kelestarian alam sekitar,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE