PUTRAJAYA – Bakal calon yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum hari penanamaan calon.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, langkah itu adalah bagi melancarkan proses penamaan calon yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Katanya, bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.
“Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kertas penamaan boleh diserahkan dari pukul 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua atau seorang daripada mereka.
“Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC.
“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalahtidak dibenarkan pada hari penamaan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5],” ujarnya.
Ikmalrudin berkata, orang awam serta penyokong-penyokong mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil.
“Mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.
Tambahnya, SPR menyeru kepada bakal calon dan parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan-arahan dikeluarkan oleh pihaknya, polis dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar. – KOSMO! ONLINE