PETALING JAYA – Pernah berhadapan realiti pedihnya perceraian, bekas personaliti media, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar, 45, menitupkan semangat buat pasangan selebriti yang melalui episod sama iaitu Nora Danish dan Nedim Nazri.
Azrinaz berkata, perceraian adalah satu perkara yang sangat menyakitkan dalam sesebuah nakhoda rumah tangga.
“Perkara yang paling menyakitkan dalam perkahwinan apabila perceraian adalah satu-satunya pilihan,” coretnya menerusi ruangan kapsyen muat naik terbaharu Nedim atau nama sebenarnya, Nedim Sujak Nazri Aziz.
Kata bekas wartawan penyiaran TV3 itu, dia percaya bahawa baik Nora mahupun Nedim sudah cukup matang untuk mendepani segala dugaan dalam kehidupan selepas ini.
“Saya percaya kalian berdua cukup matang untuk mengatasi semua ini dengan bijaksana seperti mana terlihat dalam video (temu bual dengan media).
“Saya mendoakan perkara baik-baik dan kekuatan buat anda (Nedim) dan Nora,” katanya lagi.
Malam tadi, Nora, 42, dan Nedim, 41, bercerai talak satu di di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Sekadar info, Azrinaz merupakan bekas isteri ketiga Sultan Brunei. Mereka bernikah pada tahun 2005, namun perkahwinan itu hanya bertahan selama lima tahun.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan orang cahaya mata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel, 18 dan Pengiran Anak Puteri Ameerah, 16.
Azrinaz kembali bergelar isteri kepada Firoz Khan Abdul Hamid yang juga bekas rakan sekerjanya di TV3.
Menerusi perkahwinan yang terbina sejak 1 Mei 2018 itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Areesya Malaykha, 4, dan Atheera Medinah, 2 tahun. – KOSMO! ONLINE