fbpx

Penderma, penerima sumbanagn makanan perlu utamakan keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Semua pihak terlibat dalam sumbangan dan penerima sumbangan makanan diingatkan untuk mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian keracunan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa memperkasakan kawalan pencegahan keracunan makanan di setiap peringkat rantaian makanan antaranya dengan membangunkan Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan.

Katanya, garis panduan berkenaan menggariskan panduan bagi penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti untuk tujuan sumbangan.

“Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan ini memberi panduan kepada penderma dan penerima mengenai tatacara pengendalian makanan sumbangan.

“Dalam hal ini, penderma makanan harus memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dimakan dan meletakkan maklumat seperti maklumat tarikh, masa makanan siap dimasak, masa akhir perlu dimakan atau tarikh luput makanan sebelum dimakan.

“Selain mesej keselamatan makanan supaya makanan tersebut dimakan dengan kadar segera dalam tempoh empat jam selepas disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM juga meminta agar penderma memastikan penerima mendapat maklumat awal berkaitan makanan yang hendak disumbangkan dan memastikan makanan itu bukannya ditinggalkan tanpa pemakluman.

“Penerima sumbangan makanan pula hendaklah merekodkan maklumat makanan yang diterima serta memastikan makanan dalam keadaan baik dan selamat. Amalkan lihat, hidu, rasa semasa penerimaan makanan.

“Penerima berhak menolak makanan yang diterima sekiranya keadaan makanan rosak, pembungkusan tidak sempurna, tiada maklumat makanan yang disumbangkan dan tempoh penyediaan telah melebihi empat jam,” ujarnya.

Jelas KKM, garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman web Program Keselamatan dan Kualiti Makanan di hq.moh.gov.my/fsq.

Terdahulu media melaporkan, berhubung beberapa rumah kebajikan dan pusat tahfiz menerima lambakan makanan hampir basi dan sudah berbuih yang kononnya disedekahkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI