JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, Ahad lalu.
Tertuduh, L. Satish Kumar, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu Mitsubishi Xpander dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 173 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 41 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini pada pukul 12.15 tengah malam, 16 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6) 1987 (pindaan 2020) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan itu, lesen memandu tertuduh juga perlu diendorse oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan dokumen itu sehingga tempoh 10 tahun.
Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Inspektor S. Vikineswary menawarkan jaminan RM10,000 berserta beberapa syarat lain.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 selain perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai setiap bulan dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE