SEBERANG PERAI – Seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM40,000 pada 2018.
Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat di Jabatan Siasatan/Perundangan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah menerima wang tunai berjumlah RM40,000 untuk dirinya sendiri tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di lot parkir restoran Midtown Perda, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 1 tengah hari, 3 Ogos 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam, Y. Yogeswaran.
Dalam prosiding, Yogeswaran memohon tertuduh dikenakan hukuman denda yang minimum memandangkan anak guamannya sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan berlainan dan telahpun mengaku bersalah.
“Beliau (tertuduh) sudahpun berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan menjaga ibu berusia 80 tahun yang sudah uzur dan tidak sihat.
“Beliau sekarang tidak bekerja, tiada pendapatan. Dia pernah direman selama empat hari dan benar-benar insaf dan memohon maaf atas apa yang dilakukan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM8,000 dan jika gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara.
Sementara itu, usaha pihak media merakamkan gambar tertuduh sejurus selesai proses pendakwaan dijalankan gagal meskipun telah menunggu hampir dua jam di luar pekarangan mahkamah.
Malah, kelihatan beberapa individu dipercayai pengiringnya bermundar-mandir termasuk memantau lokasi keberadaan kumpulan media sebelum mereka dilihat keluar dari pintu utama mahkamah berkenaan. KOSMO! ONLINE