PETALING JAYA – Nombor plat kenderaan keluaran khas FFF 1 menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas membida nilai tertinggi sebanyak RM1.75 juta.
Dalam hantaran di Facebook rasmi pagi ini, Seri Paduka Baginda berharap nilai bidaan yang disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.
Tahun lalu, nombor plat keluaran khas FF1 yang bernilai RM1.2 juta juga menjadi milik Seri Paduka Baginda selepas membidanya dengan jumlah yang paling tertinggi pernah dikutip kerajaan.
Untuk rekod, pada 2016, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.
Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor plat khas FFF bersempena sambutan Hari Ulang Tahun JPJ Ke-78.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nombor siri istimewa itu dibuka untuk bidaan bermula 11 Mei dan berakhir pada 10 malam, 15 Mei sebelum keputusan penawaran diumum keesokan harinya.
“Pengenalan nombor siri baharu itu merupakan kesinambungan pada setiap kali ulang tahun hari JPJ dengan sebelum ini pernah mengeluarkan siri seperti F, FA, FB, FC dan FF.
“Malah, awal tahun ini turut dilancarkan nombor plat GOLD yang berjaya mencapai pulangan hasil RM17 juta, jadi kita berharap untuk siri FFF ia mampu mencapai nilai kutipan RM20 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE