KUALA TERENGGANU – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) mengagihkan lebih satu tan daging korban khusus buat golongan asnaf fakir miskin di negeri ini semalam.
Pengurus Pemasaran Mahsuri Dagang, Aida Yusop berkata, agihan daging korban itu melibatkan dua ekor lembu sado baka Charlois masing-masing seberat 850 kilogram (kg) sumbangan syarikatnya dan Ikhlas.com.
Sebanyak 1,200 botol sos tiram Mahsuri turut diagihkan bersama pek daging korban itu.
“Program korban ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan kali keempat dianjurkan oleh Mahsuri Dagang dengan kerjasama Ikhlas.com.
“Kami mahu berkongsi rezeki dengan golongan asnaf di seluruh negara termasuk Terengganu hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di pekarangan JPNT di sini semalam.
Menurut Aida, pihaknya berharap agihan daging korban dan produk Mahsuri Dagang dapat menceriakan sambutan Aidiladha golongan terbabit.
“Alhamdulillah aktiviti menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban berjalan lancar dengan kerjasama warga JPNT. Ibadah korban ini menggunakan lembu yang dibeli daripada penternak tempatan bagi membantu industri ternakan setempat,” katanya.
Semua produk Mahsuri memiliki sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Nor Effendi berkata, Ikhlas.com merupakan jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti muslim di seluruh dunia.
“Kami sediakan perkhidmatan menganjur ibadah umrah dan korban serta pilihan gaya hidup menetapi syariat Islam,” katanya.