DALAM kegembiraan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, golongan kurang berkemampuan tidak dilupakan malah dirai meriah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) apabila mereka menerima sumbangan daging korban.
Sebanyak 17 ekor lembu selesai dikorbankan meskipun dalam cuaca yang agak mendung di Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda, Kuala Lumpur dalam Program Ibadah Korban Perdana sempena sambutan 50 Tahun MAIWP baru-baru ini.
Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, program ini merupakan inisiatif menzahirkan tuntutan ibadah sekali gus meraikan golongan kurang berkemampuan di samping dapat mengeratkan hubungan antara MAIWP bersama para asnaf.
Menurut beliau, anggaran lebih 1,300 bekas daging korban seberat 1.5 kilogram setiap satu diagihkan secara langsung kepada lebih 500 asnaf khususnya penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
Program Korban Perdana MAIWP merupakan kesinambungan daripada inisiatif MAIWP menyantuni asnaf di Wilayah Persekutuan sempena Hari Raya Aidiladha 1445H/2024. MAIWP telah menyalurkan Bantuan Sara Hidup MAIWP sempena sambutan Aidiladha 2024, dengan setiap ketua keluarga menerima RM500, yang menjadikan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM16.15 juta.
“Selain penduduk di PPR Batu Muda, kita turut menyasarkan masyarakat setempat di Parlimen Batu.
“Untuk menjejaki para asnaf, kita ada beberapa kaedah yang MAIWP gunakan, antaranya menggunakan aplikasi Mobil Jejak Asnaf (Moja) yang mana sesiapa sahaja yang menjumpai orang memerlukan pertolongan, boleh terus laporkan kepada MAIWP.
“Kemudian KPI (petunjuk prestasi utama) MAIWP adalah menyalurkan bantuan dalam tempoh masa 24 jam. Kita nak pastikan tiada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan yang tercicir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan daging korban dalam program tersebut semalam.
Syed Kamarulzaman menerangkan, selain program ibadah korban yang diadakan sekali pada setiap tahun, MAIWP menyasarkan banyak inisiatif lain dari semasa ke semasa buat golongan asnaf.
“Jika sumbangan tahun depan juga memuaskan, kita akan laksanakan lagi program sebegini. Dan banyak lagi program lain akan kita adakan juga dalam masa terdekat untuk mempergiatkan usaha membantu golongan asnaf,” ujarnya.
Program ibadah korban ini diselenggarakan dengan kerjasama antara MAIWP dan beberapa pihak antaranya Koperasi MAIWP, MAIWP FC dan Pertubuhan Kebajikan Imam Bilal (Perkib).
Selain itu, inisiatif ini turut dijayakan dengan usaha sama anak-anak syarikat MAIWP seperti Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Hospital PUSRAWI, Kolej Universiti Antarabangsa (UCMI), Kolej Profesional Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan MAIWP Healthcare Sdn. Bhd.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah MAIWP, IR Abd. Karim Mohamed @ Ismail berkata, program yang dirancang sejak dua bulan lalu berjalan dengan lancar dengan melibatkan seramai 260 petugas dan urus setia.
Beliau yang juga Pengarah program perdana korban kali ini menjelaskan, antara cabaran yang perlu dilalui adalah untuk mengumpulkan kesemua sukarelawan daripada lebih 80 masjid di sekitar Kuala Lumpur.
“Sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai belakang mengikut kelebihan masing-masing, ada yang menyembelih dan ada yang melapah daging korban. Mereka ini semua adalah imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid.
“Dengan cuaca yang yang tenang, proses kesemuanya dapat diselesaikan sebelum pukul 11.30 pagi sebelum kita agih pada golongan asnaf bermula pukul 1 tengah hari.
“Alhamdulillah untuk kita kumpulkan tenaga kerja tu dipermudahkan kerana berbalik kepada objektif program ini iaitu kita nak hidupkan ibadah korban. Jadi semua petugas memberikan kerjasama yang sangat baik,” ujarnya.
Bertanyakan tentang pelaksanaan ibadah korban pada tahun-tahun akan datang, Abd. Karim berkata, pihaknya menyasarkan 30 ekor lembu hasil kerjasama dengan beberapa pihak supaya program sebegini dapat diperluaskan lagi.
“Sebelum ni kita pernah buat program ibadah korban perdana pada 2018, waktu itu dalam 10 hingga 15 ekor lembu sahaja. Tahun ni meningkat kepada 17 ekor lembu.
“Tahun-tahun mendatang kita sasarkan ibadah korban melibatkan 30 ekor lembu dimana bukan sahaja dilakukan di MAIWP, malah disebarkan luas ke sekolah, masjid atau surau dengan kerjasama pihak-pihak lain,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk setempat, Ahmad Sayuti Isa, 54, melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi salah seorang penerima asnaf yang mendapat sumbangan daging korban pada program kali ini.
Dia yang bekerja sebagai peniaga kuih berkata, inisiatif yang diadakan kali ini cukup membuktikan bahawa MAIWP sentiasa cakna dengan golongan yang kurang berkemampuan dari semasa ke semasa.
“Syukur Alhamdulillah. Sepanjang saya jadi keluarga MAIWP selama ini, mereka tidak pernah mengabaikan golongan yang sedikit terkebelakang.
“Pihak MAIWP sentiasa turun padang dan mengambil tahu masalah warga asnaf, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Saya berharap program ini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada mereka kurang berkemampuan untuk turut merasai,” ujarnya.