SEBERANG PERAI – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah sukarelawan guru dari Singapura yang akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak. Sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
“Khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.
“Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, media melaporkan Malaysia berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.
Anwar sebelum ini berkata, ia merupakan cadangan dari Malaysia sekiranya republik itu mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazah Singapura dihantar ke kawasan miskin bandar, pedalaman, Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE