fbpx

Kesedaran, pemahaman penggunaan AI perlu dipertingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (tengah) hadir pada Majlis Peluncuran MCMC Microsoft AI Teach: Skills For AI-Enabled Economy dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara MCMC dan Microsoft Malaysia di EQ Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Usaha untuk mempertingkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat tentang penggunaan kecerdesan buatan (AI) perlu dipertingkatkan terutama di kawasan-kawasan pinggiran bandar dan luar bandar untuk memastikan tiada komuniti yang tertinggal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dengan capaian internet yang luas, murah dan pantas ketika ini, kerajaan mahu memastikan rakyat faham penggunaan internet yang baik termasuk dalam memanfaatkan teknologi AI.

Katanya, perkara itu supaya tidak hanya kita mendengar berita tentang kemasukan pelaburan termasuk dalam bidang AI, tetapi diharap aplikasi AI dapat dimanfaatkan samada untuk mencari pekerjaan ataupun untuk menjana pendapatan.

“Inilah yang kita harap disuai manfaatkan dengan keberadaan nadi di setiap bahagian Parlimen.

“Justeru, melalui program bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka akan memanfaatkan seramai 1,600 ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), terutamanya golongan rentan akan menerima latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran MCMC Microsoft AI Teach: Skills For AI-Enabled Economy dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Microsoft Malaysia di EQ Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu Fahmi berkata, ketika Malaysia berhadapan dengan digitalisasi yang pesat dan teknologi yang kian berkembang, pelbagai dasar serta inisiatif yang diperkenalkan memberi impak sosial serta ekonomi kepada rakyat.

“Kerajaan mengiktiraf keperluan untuk mewujudkan sebuah kerangka kerja kawal selia bagi menangani cabaran-cabaran etika dalam teknologi AI.

“Kod Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) penting dalam memberikan kerangka yang menekankan tanggungjawab semua pihak dalam penggunaan AI,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu katanya, MCMC akan turut memberikan fokus kepada dasar dan inisiatif penting untuk sektor AI yang melibatkan industri komunikasi dan multimedia.

“Untuk Malaysia, langkah ini bukan sekadar untuk mengikuti trend global, tetapi juga mencorakkan hala tuju ke arah masa hadapan yang teknologinya memperkasakan kreativiti manusia, hubungan dan komuniti.

“Pelancaran program ini bukanlah berkisahkan kepada teknologi semata-mata tetapi juga usaha bagi memperkasakan komuniti, memupuk inovasi dan memacu pembangunan mampan,” ujarnya.

Katanya beliau yakin dengan sokongan MCMC dan Microsoft, negara akan membuka potensi penuh AI, mentranformasi kehidupan dan mencipta masa depan yang lebih cerah untuk semua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI