MUNICH – Penyerang AC Milan, Luka Jovic muncul wira Serbia apabila menghasilkan jaringan penting untuk menafikan kemenangan Slovenia selepas terikat 1-1 pada aksi kedua Kumpulan C, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kegagalan untuk kutip tiga mata kali ini akan menjadi cabaran baharu buat Slovenia yang kini dilihat berdepan tugas wajib tewaskan pasukan pilihan Kumpulan C, England pada perlawanan terakhir, awal pagi Rabu ini.
Terdahulu, permainan di babak pertama agak menghiburkan dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan untuk memburu jaringan pembukaan.
Bagaimanapun, Slovenia seakan tidak bernasib baik selepas rembatan deras dilakukan Timi Elsnik pada minit ke-38 sekadar menggegar tiang gol Serbia dan tindakan susulan selepas itu gagal menemui sasaran.
Selang empat minit selepas itu, kecemerlangan penjaga gol Slovenia, Jan Oblak turut mengecewakan Serbia selepas bintang Atletico Madrid itu bertindak cemerlang menyekat percubaan jarak dekat Aleksandar Mitrovic.
Walaupun penguasaan Serbia di babak kedua bertambah baik, skuad kendalian Dragan Stojkovic terus dihimpit kecewa apabila gagal melakukan sentuhan penyudah dengan lebih berkesan.
Tindakan pantas Zan Karnicnik yang menggerakan serangan balas membuahkan hasil buat Slovenia apabila pemain pertahanan itu mudah melakukan tampanan untuk memastikan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-69.
Bagaimanapun, Slovenia dihimpit malang apabila Jovic muncul penyelamat buat Serbia dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengesahkan satu mata buat kedua-dua pasukan. – KOSMO! ONLINE