fbpx

Euro 2024: Jerman layak pusingan kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSIALA terus menjadi pemain penting buat Jerman pada Euro 2024 apabila sudah meledak dua gol dalam dua perlawanan setakat ini. - AFP

STUTTGART – Pasukan tuan rumah, Jerman mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Euro 2024 selepas mencatat kemenangan kedua menewaskan Hungary 2-0 di MHP Arena sebentar tadi.

Tiga mata yang diraih menyaksikan skuad Die Mannschaft itu terus menerajui saingan Kumpulan A dengan enam mata selepas turut mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Scotland Sabtu lalu.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup seimbang di awal permainan, namun gol Jamal Musiala pada minit ke-22 berjaya mengubah perlawanan dalam sekelip mata apabila menyaksikan Jerman terus ‘mengganas’ melancarkan serangan.

Bagaimanapun, Hungary hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi kapten, Dominik Szoboszlai, namun sepakan percuma yang dilakukan berjaya diselamatkan penjaga gol Jerman, Manuel Nuer.

Kemudian, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Jerman beberapa kali hampir menggandakan kedudukan mereka, namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Jerman masih belum mengendurkan asakan memburu gol kedua, begitu juga Hungary yang terdesak untuk menjaringkan gol penyamaan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

Serangan demi serangan dilakukan Jerman akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 selepas kapten, Ilkay Gundogan menyepak masuk hantaran dilakukan Maximilian Mittelstadt.

Tersentak dengan gol tersebut, Hungary yang belum berputus asa terus bekerja keras untuk cuba menembusi pintu gol Jerman, namun kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI