GEORGE TOWN – Peneraju teknologi global, Elite Material Co. Ltd. (EMC) mengumumkan pembinaan kilang pembuatan Copper Clad Laminate (CCL) baharu di Penang Science Park North (PSPN).
EMC merancang untuk melabur lebih RM900 juta di PSPN, dengan visi untuk mengubah industri papan litar bercetak (PCB) di Malaysia.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Dong berkata, fasiliti tersebut merupakan kilang pengeluaran sulung EMC di Asia Tenggara, bertujuan untuk meningkatkan daya tahan perniagaannya untuk jangka masa panjang.
“Kami sangat teruja apabila berada di tangga ketiga dunia dalam industri pada 2023, tetapi kami lebih teruja untuk memulakan babak baharu ini di Asia Tenggara dengan penubuhan kilang kemudahan pembuatan CCL terkini di Pulau Pinang.
“Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen kami dalam memenuhi keperluan pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Menurutnya, tapak kilang CCL itu akan merangkumi kira-kira 5.66 hektar tanah perindustrian di PSPN dan pembinaannya dijangka siap pada suku tahun pertama 2025, dengan pengeluaran besar-besaran dijadualkan bermula pada suku tahun kedua.
“Kemudahan ini akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan global dan tempatan, memberikan EMC momentum pertumbuhan tambahan pada tahun-tahun akan datang.
“Kami yakin kehadiran kami di Malaysia akan bukan sahaja memperkukuh industri PCB tempatan, tetapi juga industri semikonduktor kerana kami juga merupakan pengeluar bahan substrat IC (litar bersepadu),” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga amat menghargai sokongan daripada kerajaan Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang yang telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek itu.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada EMC kerana memilih Pulau Pinang untuk kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.
“Ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan transformasi industri Pulau Pinang dan bukti bagaimana pelaburan strategik utama diterjemahkan kepada limpahan teknologi dan ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE