MANILA – Tentera Filipina menyatakan semalam bahawa kapal-kapal Pengawal Pantai China merempuh beberapa bot tentera laut Manila dalam konfrontasi ganas di Laut China Selatan, yang menyaksikan seorang kelasi Filipina putus satu ibu jari.
Komander angkatan tentera, Jeneral Romeo Brawner mendakwa, sebilangan anggota Pengawal Pantai China yang menceroboh bot Filipina itu membawa pedang, lembing dan pisau.
Insiden berlaku di Beting Thomas Kedua, minggu ini.
Brawner menceritakan insiden itu selepas melawat kelasi yang cedera di Palawan. Katanya, petugas-petugas Filipina ‘bertarung menggunakan tangan kosong’ selepas kakitangan Pengawal Pantai daripada lapan buah kapal menaiki beberapa bot getah mereka.
“Mereka mengambil senjata api kami dan peralatan lain, memusnahkan peralatan kami termasuk enjin. Mereka juga membocorkan bot-bot getah kami.
“Kami menuntut pihak China mengembalikan semula raifal dan peralatan kami serta membayar pampasan terhadap kerosakan yang mereka lakukan,” kata Brawner.
Sementara itu, Beijing mempertahankan tindakannya dengan Kementerian Luar China menyatakan semalam bahawa ‘tiada tindakan langsung’ diambil terhadap kakitangan Filipina itu.
“Tindakan undang-undang oleh Pengawal Pantai China di lokasi kejadian dilakukan secara profesional dan ‘kawalan diri’,” kata jurucakap kementerian berkenaan, Lin Jian dalam sidang akhbar rutin di Beijing.
Beting Thomas Kedua terletak kira-kira 200 kilometer dari Pulau Palawan, barat Filipina dan lebih 1,000 kilometer dari daratan terdekat China iaitu Pulau Hainan.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengetepikan tuntutan bertindih oleh negara-negara rantau Asia Tenggara. – AFP