KUALA LUMPUR – 22 kanak-kanak antara 73 individu diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa menerusi Op Mega Pintas, pada 12 Jun lalu.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menjalankan sebanyak 33 serbuan di seluruh negara secara serentak dengan 14 kontinjen termasuk agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, seramai 73 mangsa diselamatkan masing-masing 25 lelaki, 26 perempuan dan 22 kanak-kanak.
“Mangsa terdiri daripada warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand dan diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Selain itu, pasukan serbuan juga berjaya menyelamatkan tiga Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 38 hingga 44 tahun masing-masing seorang wanita dan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks dan buruh paksa,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menahan 113 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.
Jelas Fadil, kesemua warga asing ditahan terdiri daripada Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.- KOSMO! ONLINE.