fbpx

[VIDEO] Radin Imran, empat ahli keluarga didakwa serang Balai Polis Ulu Tiram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang ahli keluarga (baju kelabu) yang di dakwa di mahkamah Seksyen Jenayah, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Lima ahli keluarga kepada suspek yang bertindak menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.

Kesemua tertuduh, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Radin Imran yang merupakan bapa kepada suspek, Radin Luqman, 21, yang maut ditembak dalam kejadian itu berdepan empat pertuduhan berasingan iaitu menanamkan ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS), menyimpan empat senapang angin buatan sendiri, telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Sungai Tiram, di sini antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130G(a), Seksyen 130J(1)(b), Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sementara itu, tertuduh kedua, Radin Romyullah pula berdepan dua pertuduhan iaitu telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki ‘hard disc’ yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu mengikut Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Manakala Rosna yang merupakan seorang warganegara Singapura, Farhah Sobrina dan Mariah pula didakwa atas satu pertuduhan masing-masing iaitu dengan sengaja meninggalkan dari memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Julai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara Putrajaya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Fazeedah Faik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI