fbpx

Simpanan air dua empangan di paras bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah pada paras bahaya dengan bacaan 23.76 peratus dan 29.90 peratus direkodkan.

Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan, empat lagi empangan menunjukkan baki simpanan semasa air mentah pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.

“Penyusutan air di paras amaran melibatkan Empangan Malut, Kedah (31.10 peratus), Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (43.20 peratus), Empangan Timah Tasoh, Perlis (44.73 peratus) dan Empangan Pedu, Kedah (55.50 peratus),” katanya.

Selain itu, kes penyakit berkaitan cuaca panas juga telah meningkat kepada 102 kes berbanding 96 kes pada 10 Jun lalu, mengikut pecahan 23 kes strok haba, 72 kes kelesuan haba dan tujuh kes kejang haba.

“Pemantauan sehingga 15 Jun mendapati, jumlah keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri ialah Kedah (18 kes), Terengganu (17 kes), Johor dan Pahang (14 kes), Perak (11 kes), Selangor (8 kes), Negeri Sembilan dan Sabah (6 kes), Kelantan (4 kes),Perlis (2 kes), serta Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (1 kes).

“Satu kes kematian baru akibat strok haba dilaporkan pada 13 Jun, melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun di Kuala Lumpur, sekaligus menjadikan jumlah kes keseluruhan kematian kepada lima kes,” kata Nadma.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh tujuh hari sehingga 24 Jun tersebut, rantau negara dijangka menerima tiupan angin Barat dan Barat Daya dengan kelajuan angin 50 kilometer sejam (km/j) di Laut China Selatan, manakala 70 km/j di Lautan India, Laut Andaman dan Teluk Siam

“Pengaruh angin baratan dijangka berpotensi bagi pembentukan garis badai pada awal pagi dan boleh membawa hujan lebat berserta angin kencang di pantai barat Semenanjung Malaysia, utara Sarawak dan barat Sabah.

“Kejadian ribut petir turut dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke malam terutamanya di kawasan pedalaman dan pantai timur Semenanjung Malaysia, barat dan pedalaman Sabah serta Sarawak sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI