PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri termasuk Perlis dan Kedah sehingga pukul 7 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran tersebut dijangka tertumpu di Perlis dan Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling.
“Ribut petir dan hujan lebat turut dijangka di Perak melibatkan daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Muallim) diikuti Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat di Selangor serta Jelebu, Negeri Sembilan.
“Di Kelantan pula, cuaca hujan sehingga awal malam turut diramalkan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang disusuli dengan Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu.
“Cuaca buruk turut diramalkan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin), Johor (Mersing dan Kota Tinggi) dan Sabah: Tawau (Tawau) sehingga pukul 7 petang ini,” katanya.
Selain itu, bagi status cuaca panas pula, daerah Pasir Mas di Kelantan mencatatkan bacaan suhu maksimum harian mencecah 37 darjah Celsius sekali gus menjadikan ia sebagai satu-satunya kawasan yang menerima amaran berjaga-jaga tahap satu. – KOSMO! ONLINE