fbpx

PETRONAS 50 Dreams bantu realisasikan impian usahawan kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazura bersama anak kembarnya bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan Petronas.

MELAKA – Tiada yang mustahil demi meneruskan hidup buat Mazura Yaacob, ibu tunggal yang cekal menyara dua anak kembar­nya berusia empat tahun meskipun menempuh pelbagai dugaan dalam hidup.

Sejak dibangku sekolah lagi, Mazura berdepan cabaran getir apabila terpaksa berpisah dengan ibu bapa kandung akibat kesempitan hidup hingga memaksa dia tinggal bersama keluarga angkat.

“Saya pernah tinggal di dalam stor di masjid bersama ayah selepas dia berpisah dengan ibu. Ayah pula lumpuh kerana kakinya mengecil dari paras lutut ke bawah.

“Saya sendiri tidak habis belajar di sekolah dan berhijrah ke Melaka dari Besut, Terengganu pada usia 17 tahun untuk mencari rezeki dengan bantuan ke­luarga angkat hinggalah saya berkahwin,” kongsinya.

Tanpa disangka jodohnya tidak panjang hingga memaksa Mazura nekad membuka gerai nasi lemak di tepi jalan demi mencari sesuap rezeki.

Mazura telah mengalami kehidupan sukar sejak kecil lagi.

“Saya mula berniaga ketika sedang berpantang dua bulan. Namun, salah seorang anak, Nur Ziara Emelda pula menghidap penyakit bengkak hati sejak lahir dan kami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya sendiri menghidap penyakit buah pinggang dan kini bergantung kepada satu ginjal sahaja. Umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Justeru, bantuan dan sokongan daripada sukarelawan PETRONAS baru-baru ini memberi sinar harapan buat saya,” kongsinya.

Pahit maung yang ditempuh selama ini tidak menghalang Mazura untuk meneruskan impiannya menjadi usahawan kecil yang berjaya suatu masa nanti.

Bantuan yang dihulurkan menerusi PETRONAS 50 Dreams merealisasikan impian wanita berusia 40 tahun itu, yang turut menerima pelbagai bantuan sejak Februari lalu termasuk peralatan dan perkakas yang akan digunakan dalam perniagaan kecilnya.

Antara peralatan yang diterima termasuk periuk nasi berkapasiti tinggi, mesin pengacau, peti sejuk beku dan ketuhar yang memudahkan kerja-kerja penyediaan bahan jualan.

“Sebelum ini saya hanya berniaga nasi lemak di simpang besar jalan berhampiran rumah dengan menjual sekitar 30 bungkus setiap hari.

Pelbagai peralatan disumbangkan oleh Petronas untuk mengubah kehidupan usahawan yang terpilih dalam program PETRONAS 50 Dreams.

“Selain itu, saya ada juga menjual kuih-muih dan mengambil tempahan katering secara kecil-kecilan bagi menampung per­belanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di premisnya di Durian Tunggal dekat sini baru-baru ini.

Mazura turut menggunakan perkakas yang disumbangkan oleh syarikat penyelesaian tenaga progresif ini untuk menghasilkan serunding ikan, aneka kuih tradisional dan biskut raya antaranya tart nanas serta kuih ros.

“Saya berusaha mencari premis yang sesuai untuk membuka kedai makan di Cheng dekat sini dan wakil daripada PETRONAS juga turun padang untuk menyokong perancangan saya itu.

“Jika ada rezeki, saya mahu berniaga nasi kerabu, mi celup dan nasi dagang, selain menu
tempatan lain.

“Saya yakin dapat menjayakan usaha ini dan tidak akan mensia-siakan sokongan yang diberikan oleh PETRONAS.

“Pihak PETRONAS muncul membantu pada waktu saya betul-betul buntu untuk meneruskan hidup. Alhamdulillah, ini adalah rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Tambah wanita ini, dia juga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400, manakala pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membantu membayar sewa bulanan sebanyak RM450.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd. Zaki Mahat berkata, sumbangan itu merupakan salah satu cara syarikat mendekati masyarakat selama 50 tahun berada dalam industri.

Mohd. Zaki

“PETRONAS mengambil inisiatif menyambut ulang tahun syarikat ke-50 dengan membantu merealisasikan impian golongan memerlukan.

“PETRONAS 50 Dreams yang digiatkan oleh sukarelawan PETRONAS dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah JKM akan merealisasikan impian 50 individu yang memerlukan, terma­suklah Mazura Yaacob,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain daripada perkakas yang diperlukan, Mazura juga akan dibantu untuk mendapatkan sebuah premis perniagaan dan lesen berniaga.

“Pasukan kita telah bersama-sama Mazura untuk melihat premis yang dicadangkan dan kita akan bantu membayarkan deposit serta sewa bagi tempoh tiga bulan pertama.

“Kita akan lihat perkembangan perniagaan Mazura dan akan memberikan bimbingan keusahawanan diperlukan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Katanya, selain bantuan tersebut, Mazura juga telah diberikan platform bagi menjana pendapatan dengan memasarkan produk makanan dihasilkannya di Kedai Mesra PETRONAS di Durian Tunggal.

“Antara produknya adalah kerepek pisang, popis nestum, popia simpul, serunding, kuih ros dan tart nanas.

“Setakat ini kita lihat penjualan produk tersebut telah mula mendapat sambutan dan sekiranya ia laris, kita akan ­menyediakan ruang di Kedai Mesra PETRONAS yang lain,” ujarnya.

Mohd. Zaki berkata, seiring u­saha kerajaan, PETRONAS sentiasa berusaha untuk membantu setiap insan yang memerlukan bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing termasuklah usahawan daripada kalangan B40 seperti Mazura melalui pelbagai program kemasyarakatan yang dilaksanakan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI