PETALING JAYA – Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah sekolah di Sabah bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Tawau, esok di atas pertuduhan salah guna kuasa.
Menurut sumber, suspek disyaki menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan dua perolehan berjumlah kira-kira RM40,000.
“Suspek disyaki menggunakan jawatannya pada 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja tersebut dilakukan oleh suspek sendiri.
“Pada tahun sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki dan perpaipan bernilai kira-kira RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, wanita itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau kira-kira pukul 11 pagi hari ini.
“Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan esok pagi,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE