PETALING JAYA – Matrix Concepts Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Megah Sedaya Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian pembangunan tanah baharu bersama NS Corporation (NS Corp) seluas 1,000 ekar (404 hektar) di koridor pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.
Perjanjian tersebut, susulan pembelian tanah seluas 1,382 ekar (559 hektar) yang terletak bersebelahan pada Ogos 2022 bakal menjadi pemangkin pertumbuhan utama Kumpulan, selain menggariskan komitmennya dalam memacu pembangunan lestari berimpak tinggi.
Di bawah perjanjian pembangunan tanah, NS Corp memberikan hak pembangunan kepada Megah Sedaya Sdn. Bhd., sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang akan bertindak sebagai pemaju induk tanah baharu itu dengan pertimbangan nilai RM435.6 juta.
Majlis sama turut menyaksikan Matrix Concepts dan NS Corp menandatangani perjanjian usaha sama strategik (SJVA) berstruktur sama dengan perjanjian tanah seluas 1,382 ekar sebelumnya, bersamaan asas ekuiti 85:15, dengan Matrix Concepts memegang pegangan majoriti.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, penambahan tanah baharu seluas 1,000 ekar di MVV 2.0 menandakan pencapaian penting yang mencerminkan cita-cita dan visi strategik Kumpulan.
“Kesihatan kewangan yang kukuh telah memposisikan kami untuk melaksanakan pelaburan ini yakin, serta menekankan keupayaan kami dalam merebut peluang dan kesediaan memacu ke hadapan dalam persekitaran pasaran yang dinamik ini.
“Kami juga mengiktiraf potensi transformatif cadangan projek Rel Kelajuan Tinggi, yang jika direalisasikan, akan meningkatkan daya tarikan dan permintaan untuk pembangunan berorientasikan transit di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE