PETALING JAYA – Malaysia dan China hari ini menandatangani tiga dokumen utama untuk melaksanakan kerjasama dalam Ekonomi dan Perdagangan; Ekonomi Digital; serta Hijau.
Dokumen pertama berkaitan dengan Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-China, yang pertama kali ditubuhkan pada 2013.
Hari ini, rangka kerja semasa telah ditingkatkan kepada Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028) yang akan memperkukuh kerjasama dalam bidang sedia ada termasuk perdagangan dan pelaburan, pembuatan, pertanian, infrastruktur, ekonomi digital, logistik, pembangunan PKS; serta mempromosikan kerjasama dalam bidang baharu termasuk inovasi, syarikat pemula dan perkhidmatan kewangan.
Selain itu, dua Memorandum Persefahaman (MoU) baharu turut ditandatangani, dengan tujuan meningkatkan aliran pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang ekonomi digital dan ekonomi hijau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerjasama Malaysia dan Republik Rakyat China sejak sekian lama telah berjaya menghasilkan sebuah hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh.
“Pemeteraian tiga dokumen mengenai Ekonomi dan Perdagangan, Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau menekankan komitmen bersama untuk mewujudkan kerjasama yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan demi perkembangan perniagaan dan ekonomi Malaysia-China.
“MITI akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan China dan pihak berkepentingan untuk merealisasikan sepenuhnya hasil daripada kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE