PETALING JAYA – Lawatan rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang ke Malaysia juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China itu berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan TYT Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
“Pagi ini, saya telah menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang di Dataran Perdana.
“Ini merupakan lawatan pertama beliau sebagai Premier Republik Rakyat China ke Malaysia.
“Lawatan beliau juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan TYT Chou En Lai pada 31 Mei 1974,” jelas Ahmad Zahid di Facebooknya hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, hubungan antara Malaysia dan China telah berkembang pesat selama lima dekad ini dan lawatan Li Qiang memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pelancongan, teknologi dan lain-lain.
“Saya percaya bahawa lawatan ini akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala kita dan membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.