fbpx

KPDN serbu stesen minyak jual RON95 kepada plat ‘luar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video tular seorang lelaki membawa kenderaan negara luar mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Sebuah stesen minyak di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas dikesan menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing dipercayai dari negara jiran.

Serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh pasukan penguat kuasa dengan diketuai Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.

Norena berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan susulan kejadian klip video tular di laman sosial yang memaparkan seorang individu menaiki kenderaan berpendaftaran negara asing mengisi petrol bersubsidi pada 16 Jun lalu.

“Berdasarkan video tular itu, KPDN Melaka bertindak menjalankan siasatan terhadap sebuah stesen minyak di kawasan Alor Gajah yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

“Hasil pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi OPT (Outdoor Payment Terminal) untuk membeli minyak berkenaan pada pukul 4.35 petang 16 Jun,” katanya selepas selesai operasi di sini, hari ini.

NORENA (kanan) ketika menyoal siasat pemilik sebuah stesen minyak yang dikesan menjual RON95 kepada kenderaan negara jiran di Alor Gajah, Melaka.

Mengulas lanjut Norena berkata, pemilik premis tersebut telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Kita kesal apabila pengusaha stesen minyak berusia 30-an itu memberi alasan pam petrol yang diisi individu terbabit agak terselindung, sedangkan ia boleh dipantau menerusi CCTV.

“Disebabkan itu kita buka kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan kerana semua pengusaha dan pekerja stesen minyak telah sedia maklum mengenai larangan pembelian RON95 oleh kenderaan nombor pendaftaran warga asing,” ujarnya.

Terdahulu, klip tular itu telah menimbulkan reaksi negatif warganet yang rata-rata tidak berpuas hati dan meminta KPDN menyiasat identiti lelaki terbabit susulan pelaku menafikan dirinya datang dari negara jiran, sebaliknya keretanya menggunakan nombor plat negeri Sabah.

Berdasarkan maklumat awal yang dikongsikan, seorang pengguna Facebook memberitahu bahawa dia telahpun menegur tindakan pemandu berkenaan, namun pelaku terus mengisi minyak dan meninggalkan stesen dalam keadaan tergesa-gesa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI