fbpx

Isu operasi, penyelenggaraan diberi perhatian dalam projek ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak hari ini.

PETALING JAYA – Isu operasi dan penyelenggaraan diberi perhatian dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan kerja-kerja yang berkait dapat dilaksanakan dengan efisien.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama, langkah itu juga bagi mengelakkan gangguan terhadap kelancaran projek ECRL.

Menurutnya, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali juga telah bertemu dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) semalam berhubung isu operasi dan penyelenggaraan.

“Perjumpaan semalam ialah untuk fokus apa yang diperlukan, untuk meneruskan dan memulakan rancangan terhadap isu operasi dan penyelenggaraan.

“Ini perlu dalam memastikan ia dibuat secara efisien seterusnya tidak mengganggu kelancarannya. Justeru, MRL dan CCCC fokus kepada perkara ini,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak hari ini.

Majlis tersebut turut ditayangkan secara langsung pada media sosial beliau dan ia dihadiri oleh Premier Republik Rakyat China, Li Qiang.

Anwar berkata, beliau turut menghargai kedua-dua pihak tersebut terhadap usaha mereka memberikan latihan, memindahkan teknologi dan memberi peluang kepada pemain tempatan mengenai pendedahan teknologi baharu serta meningkatkan keupayaan.

“Terima kasih kepada semua profesion yang terlibat termasuk jurutera dan juruteknik kedua-dua negara dari Malaysia dan China.

“Kita ada pihak profesion yang komited, teknokrat dan pekerja seperti anda.

“Anda menunjukkan bahawa kita mampu melakukannya dengan berkesan dan berjaya bukan hanya mengikut waktu, malah mempercepatkan rentak untuk menyempurnakan projek ini lebih cepat daripada apa yang diunjurkan pada mulanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI