PELUANG Harimau Malaya untuk berada dalam balang 1 pada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 mungkin cerah selepas pesaing terdekat, India kini dilaporkan sedang berada pada titik terendah selepas memecat jurulatihnya, Igor Stimac.
Berita ini pastinya memberikan ‘talian hayat’ dan skuad negara perlu mengambil kesempatan memandangkan ketika ini kedua-dua pasukan hanya dipisahkan 51.4 mata.
“Menyedari keputusan mengecewakan pasukan kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026, secara sebulat suara kami bersetuju ketua jurulatih baharu perlu dilantik untuk memacu pasukan lebih ke depan,” menurut kenyataan Persekutuan Bolasepak India (AIFF).
Dalam tempoh empat bulan sehingga April lalu, India mengalami trend penurunan ranking dan kedudukan 121 menyaksikan kejatuhan mendadak berbanding ranking yang dikemaskini pada Disember tahun lepas apabila skuad The Blue Tigers berada di tempat 102.
Selain kemungkinan ranking Harimau Malaya selepas ia dikemaskini esok akan menyaksikan sedikit peningkatan ekoran keputusan seri menentang Kyrgyzstan dan kemenangan ke atas Taiwan, skuad kendalian Kim Pan-gon itu perlu benar-benar bersedia untuk aksi antarabangsa seterusnya.
Berdasarkan penjadualan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ada tiga lagi tempoh aksi antarabangsa tahun ini iaitu pada September hingga November dan secara keseluruhan ia akan babitkan enam slot perlawanan.
Pan-gon sebelum ini sudah menyatakan pendiriannya untuk memperbaiki ranking negara dengan meraih keputusan positif pada aksi persahabatan nanti bagi memastikan Malaysia berada di balang 1 pada undian yang dijangka pada Disember nanti.