LONDON – Misteri yang menyelubungi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 berpotensi dapat diselesaikan tidak lama lagi, lapor portal berita MailOnline semalam.
Sekumpulan penyelidik Britain berkata, mereka menemui isyarat yang dikatakan berasal dari lokasi pesawat itu berkubur, 10 tahun lalu.
Mikrofon bawah air dikenali sebagai hidrofon, dilaporkan mengesan isyarat pada masa yang sama kapal terbang tersebut dipercayai terhempas pada 8 Mac 2014.
Isyarat selama enam saat itu ditemui oleh kumpulan penyelidik dari Cardiff.
Namun, mereka berkata, ujian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada bunyi yang dirakam mikrofon tersebut boleh membawa kepada penemuan lokasi MH370.
Titik permulaan bagi kumpulan penyelidik itu untuk mencari lokasi kapal terbang tersebut adalah, dengan membuat andaian bahawa pesawat seberat 200 tan seperti MH370 akan melepaskan tenaga kinetik seperti gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.
Tenaga kinetik ini mungkin cukup besar untuk dirakam oleh mikrofon bawah air yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya.
Dua daripada mikrofon itu terletak di Cape Leeuwin, Australia Barat dan di wilayah Britain, Diego Garcia. Ia sudah mencukupi untuk mengesan isyarat sedemikian.
Menurut seorang penyelidik itu, Dr. Usama Kadri,adalah sangat tidak mungkin hidrofon sensitif itu tidak dapat menangkap sebarang kesan pesawat besar yang terhempas ke dalam lautan.
Pesawat membawa 239 orang tersebut dipercayai kehabisan bahan api dan secara tragis terhempas ke Lautan Hindi selepas ia melencong dari laluan Kuala Lumpur – Beijing atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Walaupun pencarian meliputi kawasan seluas 119,999 kilometer persegi oleh pihak berkuasa dari seluruh dunia dilakukan, namun lokasi pesawat itu terhempas kekal misteri sejak 10 tahun lalu.
Beberapa teori turut muncul mengenai apa yang menyebabkan penerbangan itu mengubah haluannya.
Namun, tiada siapa yang benar-benar mengetahui di luar keraguan munasabah, mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat Boeing 777 itu. – AGENSI