MUNICH – Pengendali Romania, Edward Iordanescu percaya bahawa generasi pemain pasukannya itu ketika ini sudah tidak mempunyai had potensi dan kualiti selepas membuktikannya menerusi kemenangan pada aksi pertama mereka di pentas Euro kali ini.
Awal pagi semalam menyaksikan Romania mencatat kemenangan selesa 3-0 menewaskan Ukraine pada aksi yang berlangsung di Allianz Arena sekali gus menjadi kemenangan terbesar dicatat mereka di pentas antarabangsa setakat ini.
Ketua pasukan, Nicolae Stanciu membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh sebelum dua lagi gol Romania dilengkapkan oleh Razvan Marin dan Denis Dragus sekali gus membolehkan mereka mencatat kemenangan kedua dalam sejarah aksi di Euro.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada warga Romania di seluruh dunia. Saya tahu anda bersama kami kali ini. Ia adalah usaha dan kerja keras yang sangat hebat daripada para pemain.
“Jika anda ragui-ragu, saya fikir anda sudah boleh meletakkan kepercayaan bahawa ini adalah pasukan yang sangat hebat. Sejak saya menyertai pasukan kebangsaan, banyak halangan terpaksa dilalui dan tidak mudah.
“Saya yakin ini adalah ‘generasi emas’ Romania yang akan memberikan lebih banyak kejutan selepas ini. Mereka telah memberikan jiwa untuk pasukan ini dan saya fikir mereka tidak lagi mempunyai had untuk menjadi pemain yang sempurna,” katanya.
Romania akan berdepan Belgium yang tewas pada aksi pertama awal pagi semalam sebelum melengkapkan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Slovakia. – AGENSI